SEJARAH MAAHAD TAHFIZ AL QURAN ARRAUDHAH

 

Maahad Tahfiz AL-Quran Arraudhah (MTAR) ditubuhkan pada tahun 2007, dahulunya dikenali dengan Madrasah Tahfiz Al-Quran Arraudhah dan berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan . Terletak 14 kilometer dari bandar Kota Bharu Kelantan di kampung Perol. Ianya mempunyai 4 blok bangunan, pertama Masjid Raudhah digunakan untuk aktiviti Al-Quran, blok yang kedua terdiri dari dua tingkat menempatkan pejabat pentadbiran dan beberapa kelas manakala blok yang ketiga mempunyai 3 tingkat dijadikan sebagai asrama pelajar. Blok keempat adalah sebagai kuaters guru. Suasana kampung dan terletak berhampiran dengan sawah padi menjadikan suasana belajar lebih tenang.

Pengambilan pelajar sulungnya adalah seramai 15 orang. Matlamat penubuhan awalnya adalah untuk mengambil pelajar – pelajar kurang kemampuan dan menjadikan mereka hafiz Al-Quran 30 juzuk serta melatih mereka berdisplin dan jati diri tinggi serta berakhlak mulia. Maahad ini sepenuhnya di bawah biayaan Yayasan Ar-Raudhah.

Selepas 3 tahun beroperasi, pihak Yayasan mendapati kaedah yang digunakan adalah tidak sesuai dijalankan. Pada tahun 2010 rombakan dijalankan dan sistem baru diperkenalkan di mana selain tahfiz, pembelajaran akademik juga dijalankan. Pengambilan pelajar setiap tahun adalah seramai 15 orang. Penekanannya adalah untuk melahirkan pelajar dan profesional yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah serta tahfiz Al-Quran. Pihak Yayasan berharap dengan penubuhan sekolah ini ia dapat membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam urusan duniawi yang juga berjaya di hari akhirat kelak.